ERTI KONSEP TAKAFUL Kata dasar bagi perkataan 'takaful' ialah 'kafala' yang bererti untuk menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh itu 'takaful' merupakan katanama yang berasal daripada kata kerja 'takafala' maka ianya bererti 'saling menjamin', 'saling menjaga' dan 'saling memelihara'.Di dalam Al-Quran terdapat perkataan-perkataan 'kafala' dan 'yakfulu' yang memberi makna 'memelihara' atau 'menjaga'. Sebagai contoh, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Maka Tuhannya menerima ia sebagai nazar dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya (penjaganya)..." (Surah Ali-Imran:37)
Di dalam perniagaan Takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda yang penting. Ianya diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah.Secara amnya, objektif dalam industri Takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri Insurans Konvensional. Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini
|